Konsep Rutin
Rutin bilik darjah merujuk kepada aktiviti pengurusan harian bilik darjah. Ia juga
adalah satu prosedur yang tetap dan perlu dijalankan sebagai aktiviti harian bilik
darjah. Rutin pengurusan bilik darjah yang sistematik bukan hanya membentuk
persekitaran bilik darjah yang kondusif untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran,
tetapi juga meningkatkan semangat kekitaan murid, keselamatan dan meningkatkan
disiplin kendiri murid. Tambahan pula, ia menjimatkan masa dan tenaga guru dan
murid, dan memupuk sikap yang baik dalam diri murid seperti bersifat koperatif dan
bertanggungjawab.
Guru perlu menerangkan kepada murid tentang rutin bilik darjah pada awal tahun.
Semua murid perlu faham dan jelas tentang rutin, peraturan dan prosedur bilik darjah
supaya mereka boleh menjalankan tanggungjaawab mereka secara ikhlas dan
sukarela. Contoh rutin bilik darjah termasuklah mengambil kehadiran murid,
memungut yuran, menyusun kerusi dan meja serta menyiapkan jadual bertugas.
Jenis-jenis Rutin
(a) Rutin Kelas
Seorang guru perlu mewujudkan persekitaran fizikal bilik darjah yang kondusif dan
membuat beberapa peraturan dan prosedur asas bilik darjah untuk memudahkan
proses pelaksanaan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.
Pengurusan peraturan dan kebersihan bilik darjah juga bertujuan untuk
mengurangkan masalah disiplin dan memastikan bilik darjah berada dalam suasana
yang kondusif. Contoh rutin bilik darjah: mengurus kebersihan bilik darjah, termasuk menyapu
lantai, menyusun kerusi dan meja serta membersihkan papan tulis, membentuk
peraturan dan jadual bertugas murid.
(b) Rutin Pentadbiran
Guru juga memainkan peranan sebagai seorang pentadbir. Adalah penting bagi
seorang guru mengurus pentadbiran bilik darjah secara berkesan kerana ini akan
membantu murid-murid belajar dalam suasana yang selesa dan tenteram. Ini dapat
menjimatkan masa dan tenaga guru serta murid. Ini boleh memberi manfaat kepada
pembelajaran murid. Murid akan lebih berasa selamat dan berdisiplin.
Contoh rutin pentadbiran: mengambil kehadiran murid, memungut yuran (seperti
yuran peperiksaan, derma PIBG), menyediakan laporan kemajuan murid dan rekod
kesihatan murid.
(c) Rutin Pergerakan Murid
Murid perlu tahu prosedur pergerakan dari satu aktiviti atau bilik darjah kepada yang
lain. Contohnya kebanyakan sekolah memerlukan murid untuk beratur sebelum
pergi ke makmal sains dan komputer, bengkel kemahiran hidup dan Sains
Rumahtangga. Ini bertujuan untuk melatih murid agar lebih berdisiplin sewaktu
bergerak ke makmal atau mengikuti aktiviti luar.
Contoh rutin pergerakan murid: murid bergerak dari
i. aktiviti dalam ke aktiviti luar,
ii. aktiviti kelas kepada aktiviti kumpulan,
iii. kelas ke makmal komputer.
(d) Rutin Pengurusan Tugasan
Rutin jenis ini termasuklah persediaan guru terhadap tugasan, aktiviti sumber
pengajaran dan pembelajaran dan membina pusat aktiviti. Untuk memastikan
kelicinan dalam mengimplementasikan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, guru
perlu memberitahu murid tentang hasil pembelajaran yang diharapkan, apa yang
perlu mereka lakukan dan cara mereka mengetahui pencapaian hasil pembelajaran
mereka. Guru juga perlu memantau aktiviti bilik darjah dan menilai pencapaian
murid.
(e) Rutin Pembelajaran
Rutin jenis ini berlaku dalam pada setiap hari dan ini membantu menyokong aktiviti
pengajaran dan pembelajaran. Prosedur yang betul sewaktu menjalankan rutin
adalah penting dan murid harus melibatkan diri secara langsung di mana perlu.
Contoh rutin pembelajaran: memungut buku latihan, menanda latihan, mengagihkan
sumber dan buku.
(f) Rutin Interaksi
Pengajaran dan Pembelajaran dalam bilik darjah menekankan aktiviti yang
berfokuskan murid. Interaksi seperti interaksi murid-murid dan guru-murid adalah
digalakkan. Murid perlu tahu prosedur bertanya atau menjawab, perkara yang
diharapkan semasa berada di pusat pembelajaran semasa menjalankan
perbincangan dan aktiviti bilik darjah yang lain.
Contoh rutin interaksi: Perbincangan kelas dan kumpulan kecil, membuat ujikaji
makmal, aktiviti kumpulan seperti main peranan dan projek.
Rujukan
Bahagian Pendidikan Guru.(2002). Unit 2: Pengurusan pengajaran bilik darjah. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Haliza Hamzah & Joy Nesamalar Samuel (2009), Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Kamarudin, H. (1990). Pedagogi 2. Petaling Jaya: Longman Malaysia.
Norasiah Abdullah, Nor Risah Jamilah Mat
Lazim & Rosnah Ahmad Zain. (2009). Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor :
Multimedia Sdn. Bhd.